(am@hmetro.com.my)
TIDAK seperti Seoul di Korea Selatan yang cukup terkenal di kalangan pelancong sebagai destinasi berhibur dan membeli-belah serta kunjungan ke tempat bersejarah, Incheon kurang dilawati kerana ramai yang tidak menyedari bandar metropolitan itu juga mempu�nyai tarikan tersendiri.
Justeru, badan pelancongan bandar metropolitan berkenaan, Incheon Tourism Organization (INTO) kini gigih mempromosi beberapa lokasi pelancongan yang lebih menarik untuk dikunjungi. Tambah lagi, Incheon juga bakal berlangsung temasya Sukan Asia Ke-17 pada 2014 selepas Guangzhou, China yang diadakan pada 12 hingga 27 November lalu.
Melalui rombongan 12 anggota media ke Incheon yang dibawakan syarikat tambang murah, AirAsia X Sdn Bhd (AirAsia X) dengan kerjasama Korea Tourism Organization (KTO), baru-baru ini, penulis berpeluang menikmati keunikan bandar yang merangkumi kawasan bersejarah hingga bandar termodennya yang dulunya dikenali sebagai Michuhol ketika pemerintahan Dinasti Goguryeo.
Incheon yang juga kawasan pelabuhan utama di pantai barat Korea Selatan kerana terletak di kuala mendapat namanya ketika pemerintahan Dinasti Joseon pada 1413. Malah, Incheon pernah dikenali sebagai Jemulpo ketika pembukaan pelabuhan terpenting itu pada 1883.
Bandar ini berkeluasan 1,010 kilometer persegi termasuk 155 pulau berhampiran dan mempunyai populasi penduduk menjangkau 2.8 juta orang.
Rombongan media yang bertolak dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, dengan menaiki pesawat Airbus A330 milik AirAsia X jam 1.55 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon jam 9.15 malam (waktu di Korea Selatan sejam lewat daripada Malaysia).
Incheon adalah destinasi ke-10 AirAsia X dan dilancarkan pada 1 November lalu bagi menghubungkan kedua-dua negara selepas mendapat permintaan tinggi terutama dalam industri pelancongan. Bagi menampung permintaan itu, AirAsia X menganjurkan perjalanan ke Incheon sebanyak tujuh kali seminggu dengan 337 tempat duduk ekonomi termasuk 12 tempat duduk premium untuk lebih keselesaan.
Ketika kunjungan rombongan media selama lima hari pada akhir November lalu, Korea Selatan sedang mengalami perubahan musim daripada luruh ke sejuk. Justeru, bandar itu agak dingin dengan bacaan 12 darjah Celsius iaitu suhu purata di sana pada waktu itu.
Dari lapangan terbang di Yeongjongdo untuk ke tempat penginapan, Hotel Paradise, di Songdo, kira-kira 20 minit perjalanan, kami melalui Jambatan Incheon sepanjang 21.27 kilometer iaitu jambatan terpanjang di Korea Selatan juga jambatan kabel kelima terpanjang di dunia.
Jambatan berkenaan yang menjadi kebanggaan rakyat negara berkenaan dibuka untuk awam pada Oktober 2009 selepas empat tahun empat bulan pembinaannya dan menawarkan pemandangan cantik pantai Eulwangni dan Wangsan di sepanjang perjalanan.
Rombongan media memulakan lawatan pada hari kedua dengan lokasi pertama di Compact Smart City iaitu bangunan galeri mempamerkan rentetan sejarah pembukaan Incheon yang melalui pelbagai era pemodenan bagi memajukannya mulai Dinasti Joseon sehingga gambaran bandar metropolitan itu pada masa akan datang.
Selepas tamat lawatan di Compact Smart City, kami berhenti untuk makan tengah hari di kawasan berhampiran. Tiada restoran makanan halal di situ. Justeru, bagi anggota rombongan Muslim kami memilih makanan laut dan sayuran.
Pemandu pelancong kami, Julie Hwang, memperkenalkan makanan tempatan terkenal di Incheon yang berasaskan ikan monk iaitu Multeombeongi. Makanan ini mendapat namanya apabila nelayan yang menang�kap ikan itu gemar membuang ia kembali ke laut kerana rupa ikan itu yang terlalu hodoh.
Namun, isi ikan itu sangat lembut dan rasanya pula amat enak serta mengandungi protein yang tinggi. Penduduk tempatan pula percaya memakan ikan ini boleh menguatkan perut mereka selain mencegah penyakit.
Selesai makan, kami dibawa menyusuri bandar perniagaan antarabangsa Songdo menaiki teksi air. Bagi menaiki pengang�kutan ini, pelawat dikenakan tambang KRW4,000 won (RM12) seorang dan sepanjang perjalanan kami dapat melihat Menara Incheon yang sedang dalam pembinaan.
Bangunan kembar setinggi 151 tingkat itu mengandungi ruang pejabat, kediaman mewah dan hotel yang dimulakan pembinaannya pada 20 Jun 2008 itu bakal diuar-uarkan sebagai menara berkembar tertinggi di dunia sebaik siap pada 2015.
Satu lagi mercu tanda di bandar perniagaan antarabangsa Songdo yang menjadi kebanggaan Korea Selatan adalah Menara Perdagangan Utara Timur Asia (NEATT). Bangunan setinggi 68 tingkat itu masih dalam pembinaan, tetapi ruangan meninjaunya di tingkat 65 sudah dibuka kepada awam ketika mesyuarat ekonomi Menteri Kewangan G-20 pada Februari lalu dan ketika ini ia menjadi menara tertinggi di negara berkenaan.
Seterusnya, kami dibawa ke Tomorrow City yang menempatkan pameran pintar bagi kediaman, ruang kerja dan belajar berikutan menggunakan aplikasi teknologi digital, maya dan sentuhan dalam kehidupan seharian.
Pelawat dikenakan tiket sebanyak KRW5,000 won (RM15) untuk memasuki dan menikmati kemudahan dalam pameran berkenaan.
Selesai makan malam di bandar sama, kami diberi peluang meninjau kawasan sekitar bandar berkenaan yang berubah menjadi pesta lampu neon berwarna-warni pada waktu malam. Ini kerana, premis di situ gemar memasang lampu neon pelbagai warna bagi memikat pelanggan di samping memasang muzik bingit.
Kami sempat singgah di kompleks beli-belah, E-Mart, bagi membeli sedikit kelengkapan dan makanan ringan sebelum kembali ke hotel. Lucunya, pasar raya di situ tidak menyediakan beg plastik menyebabkan kami terpaksa memegang saja barangan yang dibeli.
Hari berikutnya di Incheon, kami dibawa melawat muzium memperingati tentera yang gugur ketika Perang Korea yang dilancarkan secara mengejut oleh Korea Utara pada 25 Jun 1950 dikenali Incheon Landing Operation Memorial Hall.
Muzium berkenaan yang dibuka pada 15 September 1984 menempatkan tugu pahlawan, kereta kebal, pesawat jet, peluru berpandu dan senjata yang digunakan ketika perang berkenaan meletus. Turut dipamerkan gambar dan tayangan video peperangan itu serta patung dan barangan peribadi milik Jeneral Douglas MacArthur yang me�ngetuai angkatan tentera Amerika Syarikat bagi membantu Korea Selatan memerangi musuh mereka.
Lawatan seterusnya, rombo�ngan kami dibawa ke Chinatown yang diasaskan ketika pembukaan Konsulat China pada 1884 sejurus pembukaan bandar pelabuhan Jemulpo.
Chinatown yang juga pusat pertemuan bagi pendatang dari China ke Korea Selatan untuk bekerja dan berniaga mencapai kegemilangannya pada 1940-an.
Ia melonjak ekonomi Incheon pada ketika itu dengan perdagangan sutera, herba perubatan dan perkakas import dari China.
Tidak lengkap kunjungan ke Chinatown tanpa menikmati makanan tradisi terkenal di situ yang dibawa pendatang China iaitu Jajangmyeon. Ia sejenis mi kuning yang dimakan bersama kuah kacang soya hitam dan sedikit sayur. Berhati-hati ketika memesan makanan ini kerana jika berlaku salah faham mungkin penjualnya akan menambah daging babi yang dicincang halus.
Kediaman di Chinatown yang rapat-rapat masih mengekalkan seni bina lama terutama pada bahagian pintu pagar dan bumbungnya serta masih cantik dan utuh walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.
Di sini juga letaknya Jayu Park yang membawa maksud taman kemerdekaan. Ia adalah taman moden pertama berkonsep barat di Korea Selatan.
Nama asal taman ini ialah Manguk bermaksud untuk semua bangsa berikutan penduduk Amerika, Inggeris dan China yang menetap di Incheon pada akhir era Dinasti Joseon sama-sama membina taman ini.
Namun, taman ini juga pernah ditukar nama menjadi Suh Park ketika zaman penjajahan Jepun di Korea Selatan sebelum dikekalkan kepada Jayu Park selepas patung gangsa Jeneral McArthur diletakkan di situ sebagai mercu tanda taman berkenaan.
Chinatown adalah destinasi terakhir lawatan kami di Incheon. Masih banyak lagi
tempat menarik belum dikunjungi kerana jadual lawatan yang padat selain kami perlu bertolak ke bandar kosmopolitan Seoul untuk destinasi seterusnya.
Sejujurnya, penulis mahu tinggal lebih lama di bandar metropolitan ini kerana mahu menikmati semua keunikannya seperti yang terdapat dalam buku panduan pelancongan Incheon.
Siapa cakap gaji aku RM1 juta? – Jojo Ghazali
-
Johan GhazaliPETALING JAYA – Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali
menafikan pendapatan yang diperolehinya ketika ini sehingga RM1 juta.Johan
atau nama gel...
1 day ago
0 comments:
Post a Comment