KLIK YE..TAKKAN NAK TENGOK AJE...

FOLLOW ME DER....

Friday, September 11, 2009

Akhirnya Siap Juga satu assignment saya tentang adat tradisi masyarakat Iban di Sarawak...Senangnya hati...hehehe


1.0 Pengenalan

Kajian tentang adat dan tradisi masyarakat Iban di Sarawak adalah merangkumi keseluruhan budaya dan masyarakat Iban di Sarawak yang diamalkan pada masa dahulu dan juga beberapa adat dan tradisi yang masih diamalkan sehingga sekarang. Pelbagai adat dan tradisi yang lama tidak terungkai oleh masyarakat pada zaman ini yang hidup penuh dengan kemajuan dan pengaruh-pengaruh luar yang menenggelamkan pengaruh tempatan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila generasi baharu pada masa kini lebih gemar berhibur dengan menonton televisyen, mengakses internet dan sebagainya. Generasi baharu pada masa kini juga tidak pernah tahu menahu tentang budaya mereka sendiri. Berdasarkan kajian saya ini, saya mendapati begitu banyak adat dan tradisi masyarakat Iban iaitu dari seorang insan itu dalam kandungan ibu sehinggalah kepaada adat mengurus kematian.

Begitu juga dengan pegangan dan anutan masyarakat Iban, iaitu dari amalan animisme sehinggalah masyarakat percaya bahawa ada Tuhan di dunia ini. Walaubagaimanapun, amalan animisme ini masih teguh dalam kalangan masyarakat Iban terutama mereka yang berada di kawasan pedalaman dan juga hulu sungai. Mereka masih percaya kepada perbomohan, serta kuasa-kuasa ghaib yang membantu mereka dalam kehidupan mereka. Dalam pada itu juga, setiap tahun mereka akan meraikan tuhan atau Petara mereka. Hal ini menunjukkan bahawa kekuatan animisme sebenarnya masih ada lagi dalam kalangan masyarakat Iban.


1.1 Ruang Lingkup

Kertas kerja ini memfokuskan kepada negeri Sarawak sahaja. Ia adalah memfokuskan tentang budaya dan adat tradisi masyarakat Iban di Sarawak. Suku kaum Iban ialah penduduk terbesar peribumi Sarawak yang dikenali juga sebagai Bumi Kenyalang. Pada zaman pemerintahan Rajah Brooke, Sarawak juga disebut sebagai Bumi Pemotong Kepala. Negeri Sarawak mempunyai 23 etnik utama dan berpuluh-puluh lagi suku kaum pribumi kecil-kecil yang kesemuanya menganut pelbagai pelbagai agama, kepercayaan dan mempunyai adat resam serta budaya masing-masing, menuturkan bahasa dan juga dialek yang berbeza mengikut daerah-daerah kediaman mereka di kawasan luar bandar dan pendalaman .

1.2 Batasan

Dalam kajian saya ini, saya membahagikannya kepada beberapa bahagian seperti yang ada di bawah ini:
a). Aspek cara hidup(Ekonomi, sosial dan politik;sistem pentadbiran rumah panjang)
b) Cara Berpakaian
c). Kraftangan atau kemahiran
d). Adat Resam
e) Tarian dan nyanyian

1.3 Kaedah Penulisan

Penulisan hasil kerja ini adalah dibantu oleh beberapa sumber. Rujukan utama saya dalam penulisan ini ialah melalui buku. Di samping itu juga, saya melihat sendiri kepada budaya masyarakat saya sendiri. Kehidupan saya sebagai bangsa Iban sedikit sebanyak membantu saya untuk mengkaji adat tradisi masyarakat bangsa saya sendiri. Beberapa rujukan juga saya perolehi daripada sumber internet, seperti kertas kerja dan kajian individu tertentu tentang budaya dan tradisi masyarakat Iban di Sarawak.

2.0 Definisi dan Konsep.

Masyarakat Iban merupakan masyarakat peribumi terbanyak di Sarawak. Masyarakat Iban juga dikenali sebagai dayak laut atau Sea Dayak yang mendiami semua kawasan di Sarawak. Masyarakat Iban juga turut dianggap sebagai masyarakat Pemotong kepala berikutan pada zaman dahulu Iban terkenal dengan amalan ngayau atau memotong kepala.(Chemaline Usop,2006:1).

Masyarakat Iban juga dikenali sebagai masyarakat yang selalu berpindah randah atau bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari makanan dan kehidupan baru.

Iban also mean wanderer . For centuries they have moved through the hills of Borneo, farming dry rice, gathering,hunting and fishing, expanding in territority as well as numbers. During the century they moved into the delta plains of the Rejang and other river valleys, where they now grow wet rice, rubber, pepper and work for wages.
( Vinson H. Sutlive ,2001: 2)



3.0 Aspek Cara Hidup Masyarakat Iban

Adat dan tradisi masyarakat Iban di Sarawak, yang pertama kali saya kaji ialah dari aspek cara hidup mereka. Cara hidup masyarakat Iban adalah dapat dilihat dari segi kehidupan masyarakat Iban yang teguh dengan kemasyarakatannya iaitu hidup dalam satu rumah panjang. Struktur organisasi dalam rumah panjang itu diterajui oleh Tuai Rumah kemudian beberapa orang yang akan membantu beliau dalam mengendalikan hal-hal pentadbiran dalam rumahnya. Tuai Rumah akan berperanan dalam undang-undang rumah panjang dan juga mengendalikan adat-adat dalam rumah panjang tersebut.

3.1 Aspek Ekonomi.

Sementara dari segi ekonomi pula, masyarakat Iban di Sarawak masih teguh dengan tradisi masyarakat mereka yang bergantung kepada aktiviti pertanian secara sara diri. Tradisi ini masih kekal sehingga ke zaman ini. Tanaman padi ini akan diusahakan setiap setahun sekali iaitu selepas penghujung bulan Jun atau bulan 1 bagi masyarakat Iban, yang menganggap bulan Jun sebagai bulan permulaan dalam takwim mereka. Padi akan selesai dituai pada bulan Februari. Pada 1 haribulan Jun, sambutan Hari Gawai Dayak akan diadakan sebagai meraikan semangat padi yang telah memberikan rezeki kepada mereka. Padi yang diusahakan pula ialah padi bukit, dan secara keseluruhan aktiviti adalah masih menggunakan peralatan tradisional, seperti kapak,parang, dan peralatan tradisional yang lain. Oleh itu, masyarakat Iban gemar menjalankan aktiviti dengan bergotong-royong kerana percaya bahawa aktiviti itu akan lebih cepat dan mudah.

Selain daripada mengusahakan tanaman padi, masyarakat Iban di Sarawak juga turut menanam lada. Lada ditanam sebagai sumber pendapatan bagi menyara hidup keluarga dan anak-anak mereka. Biasanya lada ditanam juga dengan menggunakan kaedah tradisional. Walaupun harga lada di pasaran tidak tetap, tetapi masyarakat Iban tidak ada pilihan lain memandangkan struktur muka bumi di Sarawak lebih banyak yang bertanah tinggi. Selain daripada menanam lada yang pada asalnya dibawa oleh orang asing yang datang ke Sarawak iaitu sekitar abad ke- 18 lagi, masyarakat Iban di Sarawak juga masih teguh mengusahakan tanaman getah dan juga tanaman sampingan yang lain. Di samping itu juga, masyarakat Iban di Sarawak juga turut menyara hidup mereka dengan aktiviti berburu dan menangkap ikan. Mereka akan memburu binatang-binatang yang boleh dimakan seperti rusa, kijang, pelanduk dan banyak lagi.

3.2 Aspek Sosial

Dari aspek sosial pula, masyarakat Iban terkenal dengan amalan dalam sesebuah rumah panjang. Pada zaman sekarang, amalan hidup dalam komuniti rumah panjang masih lagi ada. Di rumah panjang saya sendiri ada lima puluh empat buah rumah yang sama besar dan juga sama struktur binaannya. Masyarakat Iban dalam rumah panjang begitu mementingkan semangat kerjasama. Dalam apa juga kerja, masyarakat Iban lebih memilih untuk bergotong royong daripada melakukan kerja itu secara sendiri. Amalan bergotong-royong atau beduruk ini kerap diamalkan apabila musim menanam dan juga menuai padi.

Di samping itu juga dalam pergaulan seharian, amalan masyarakat Iban antara lelaki dan perempuan adalah tidak disekat ataupun dibenarkan mengikut adat ngayap. Ngayap ini merupakan satu amalan masyarakat Iban pada zaman dahulu,yang dilakukan oleh si teruna untuk memikat si dara serta berkenalan dan meluahkan perasaan masing-masing. Walaupun amalan ngayap ini dibenarkan namun ia haruslah dilakukan dengan adab dan juga sopan santun yang berlandaskan adat dan juga pegangan hidup masyarakat kaum Iban itu sendiri.

Mengikut adat,si teruna boleh mengunjungi si dara tidak melebihi tiga malam berturut-turut. Jika kunjungan berterusan, ibu-bapa si gadis mempunyai hak untuk menentukan dan bertanya sama ada si teruna serius di dalam usahanya untuk memikat si gadis. Sekiranya antara mereka serius,mereka akan dikahwinkan. Pada masa kini, tradisi dan amalan ngayap ini tidak lagi diamalkan. Teruna dan dara hanya berjumpa dalam majlis keramaian, perjumpaan semasa perayaan, dan sebagainya yang tidak berlebih-lebihan dsan bersopan santun. Oleh itu,sekiranya terdapat perlanggaran adab dan campurtangan kaum lain ,maka tindakan undang-undang akan diambil seperti yang termaktub dalam seksyen 132 Adat Iban,1993.

Dari aspek menyambut keramaian pula, masyarakat Iban adalah amat menitikberatkan kepuasan dan juga hubungan persaudaraan juga silaturrahim antara mereka. Mereka juga seperti kaum lain yang memberi makan setiap tetamu yang datang ke rumah mereka. Tetamu yang datang juga mungkin dihantar pulang sekiranya perlu. Di samping itu juga, tetamu yang hendak pulang juga akan dibekalkan dengan buah tangan dan juga cenderamata yang menunjukkan tuan rumah senang menerima kehadiran mereka.

3.3 Aspek Politik(Pentadbiran dalam Rumah Panjang)

Dalam aspek politik pula, cara hidup masyarakat Iban amatlah mementingkan ketaatan kepada Tuai rumah atau ketua kampung dalam sesuatu organisasi dalam sesebuah rumah panjang. Dalam hal ini, ketua rumah dalam sesebuah rumah panjang akan melantik beberapa orang ahli jawatankuasa di bawahnya. Peranan ketua rumah panjang bukan sahaja dalam birokrasi mahupun pentadbiran sahaja,bahkan ketua rumah panjang juga berperanan dalam mengendalikan urusan adat dan juga undang-undang rumah panjang tersebut.

Ahli jawatankuasa yang membantu ketua rumah akan bertungkus lumus terutamanya dalam urusan rumah panjang,misalnya bendahari,setiausaha, komiti,dan sebagainya. Namun pada masa sekarang,masyarakat Iban hidup dalam rumah panjang yang agak mewah seiring dengan arus pemodenan. Bukan lagi sepert dahulu yang hanya beratapkan rumbia,berdinding buluh dan sebagainya. Bahkan kira-kira 60% daripada rumah orang Iban adalah rumah batu dan moden struktur binaannya.

Oleh itu, pada zaman sekarang struktur pentadbiran pun telah berubah. Bahkan seorang ketua dalam rumah panjang itu juga seharusnya seorang yang pernah menerima pendidikan bukanlah mereka yang buta huruf seperti sebelumnya. Hal ini kerana, ketua berperanan dan berurusan dengan kerajaan untuk meminta sebarang kemudahan daripada kerajaan dan diberikan kepada rumah panjang di bawahnya. Oleh itu perlunya sikap kepimpinan ada dalam apa jua keadaan sekalipun.

4.0 Cara Berpakaian

Masyarakat Iban terkenal dengan cara berpakaian atau disebut juga ngepan Iban. Cara berpakaian masyarakat Iban adalah sangat unik dan masih lagi diamalkan pada masa sekarang terutamanya pada musim keramaian,majlis-majlis tertentu, dan juga pada musim perayaan iaitu Hari Gawai. Namun,pada hari-hari biasa,masyarakat Iban menggunakan pakaian seperti mana yang dipakai oleh masyarakat lain. Pada zaman dahulu, pakaian lelaki dan wanita dalam masyarakat Iban adalah jauh berbeza. Namun demikian ia lebih banyak diperbuat daripada kain tenunan yang memaparkan corak tenunan yang sangat cantik. Sementara untuk perhiasan pula, masyarakat Iban menggunakan perhiasan yang pelbagai,seperti marik empang,sugu tinggi, rawai dan sebagainya. Perhiasan ini diperbuat daripada bahan logam seperti timah dan juga perak dengan buatan yang sungguh cantik.

4.1 Pakaian Lelaki

Lelaki masyarakat Iban terkenal dengan lanjang atau topi yang dihiasi dengan bulu burung iaitu burung merak atau ruai. Lelaki juga relevan dengan pantang atau tatu yang diukir pada badan mereka. Amalan bertatu ini masih lagi diamalkan sehingga pada zaman sekarang dan ia menggambarkan seni masyarakat Iban yang sangat unik dan menarik. Ukiran-ukiran yang sering diukir pada badan mereka ialah seperti ukiran bungai terong, binatang-binatang buas,dan sebagainya. Di samping itu juga,amalan menindik telinga juga sebati dengan masyarakat Iban. Tidak kira lelaki dan perempuan. Namun demikian, pada zaman sekarang,amalan itu tidak lagi diamalkan, melainkan perempuan sahaja yang menindik telinga untuk dilekatkan subang sebagai perhiasan.

Pada zaman dahulu, lelaki juga memakai kain sirat. Kain sirat merupakan sehelai kain yang berukuran 50m X 500 cm. Bahagian hujung kain ini dihiasi denga sulaman atau tenunan yang indah. Manik dan kulit siput juga kadang-kadang dijadikan sebagai hiasan itu. Pemakaian sirat adalah dengan melilitnya di pinggang dan celah kangkang. Hujung kain ini dijuntaikan dari pinggang ke hadapan dan belakang badan untuk mempamerkan bahagian yang berhias.
Lelaki juga sinonim dengan kain dandong atau kain selendang yang dipakai oleh lelaki Iban. Panjang dandong adalah tidak tetap kerana kain dandong ini digunakan sebagai pembungkus barang-barang persembahan dalam upacara-upacara tertentu. Dandong ini diperbuat daripada tenunan secara ikat. Kain dandong tidak lagi digunakan pada zaman sekarang,melainkan digunakan untuk perhiasan sahaja.

Pakaian lelaki yang dijadikan sebagai baju pula dikenali sebagai baju burung. Baju burung adalah merupakan sejenis kain tenunan yang mempunyai corak yang bermotifkan burung dan coraknya sangat cantik. Cara pemakaian baju burung adalah dipakai seperti baju biasa hanya ia tidak bertutup dan mendedahkan dada. Baju burung juga dipakai tanpa lengan kelihatan ringkas namu menarik. Baju burung masih lagi dipakai sehingga zaman sekarang tetapi pemakaiannya hanyalah pada hari-hari tertentu sahaja seperti musim perayaan, majlis dan keramaian dan juga menyambut tetamu atau pengabang.

4.2 Pakaian Wanita

Sementara untuk pakaian wanita pula, pakaian tradisional wanita Iban adalah sangat unik dan hampir keseluruhannya merupakan kain tenunan yang mempunyai corak-corak yang menarik. Pakaian wanita Iban dapat dilihat daripada bahagian kepala sehinggalah ke bahagian kaki. Bahagian kepala akan dihiasi dengan sugu tinggi, yang merupakan hiasan yang diperbuat daripada logam timah dan kelihatan cantik apabila wanita Iban menggunakannya. Bahagian bahu pula akan dihiasi dengan marik empang,yang diperbuat daripada manik-manik yang disusun mengikut corak. Bahagian pinggang pula akan dililit dengan ngepan yang diperbuat daripada timah dan kelihatannya seperti syiling yang disusun berjuntai-juntai. Kaki juga mempunyai perhiasan yang cantik dan setiap gelang kaki akan diletakkan gerunung yang mengeluarkan bunyi-bunyian yang menarik perhatian sesiapa yang mendengarnya.

Begitulah halnya dengan pakaian wanita. Pakaian dijadikan baju adalah dinamakan selayah(bedong) yang merupakan sejenis kain tenunan yang sangat panjang dan dilit di bahagian dada. sementara kain sarung yang dipakai separas lutut. Kain sarung ini ditenun dengan corak jalur yang berwarna-warni. Malah ada diantaranya juga dihiasi dengan corak bermotif tradisionla dan disongketkan dengan benang emas atau perak di atas kain dasar yang berwarna merah.

4.3 Pua Kumbu

Pua kumbu adalah hasil tenunan kaum Iban yang paling terkemuka. Pua kumbu dikatakan mempunyai kuasa dan dijadikan bahan penting di dalam upacara-upacara seperti perubatan,gawai dan seumpamanya. Pua kumbu biasanya diperbuat daripada benang yang ditenun dengan pelbagai motif atau corak yang sangat unik dan menarik. Apabila menggunakannya,ia perlulah direntangkan. Pua kumbu digunakan juga dalam majlis perkahwinan dan dijadikan sebagai mas kahwin.

Semasa bersanding, pasangan pengantin duduk di bawah ‘sengkuap’ untuk mendapat restu daripada saudara tua. Seringkali juga pua digunakan sebagai pelamin dan lain-lain kegunaan selain digunakan sebagai pakaian. Namun pada masa sekarang, penggunaan pua kumbu ini adalah sebagai hiasan dan merupakan hasil tangan yang sangat unik bagi masyarakat Iban.


5.0 Kraftangan dan Kemahiran

Masyarakat Iban juga masyarakat yang kaya dengan pengetahuan dalam menghasilkan kraftangan atau disebut juga pengelandik jari . Oleh itu, pelbagai kraftangan yang dihasilkan dengan hasil seni dan corak serta motif yang tertentu yang berlambangkan identiti masyarakat Iban sendiri. Antara kraftangan yang dihasilkan oleh masyarakat Iban di Sarawak ialah tikar,raga, pasu dan sebagainya yang sangat cantik buatannya.

Dalam sesebuah rumah panjang,amatlah menjengkelkan jika seseorang perempuan terutama sekali tidak pandai menghasilkan kraftangan,sekurang-kurangnya menganyam sehelai tikar mengkuang atau rotan. Sebelum seseorang wanita itu hendak berkahwin dengan bakal suaminya, beliau terlebih dahulu mempersiapkan diri dengan kemahiran yang menghasilkan kraftangan seperti anyaman, tenunan dan sebagainya. Hal ini kerana, kraftangan yang dihasilkan akan dapat menambat hati keluarga mentua. Kraftangan yang dihasilkan oleh masyarakat Iban adalah pelbagai dan mempunyai pelbagai kegunaan.

Antara kraftangan yang dihasilkan ialah seperti tikai lampit atau sejenis tikar yang ditusuk dengan menggunakan tali tansi dan dibuat daripada rotan yang telah diraut nipis. Tikai kerupuk dan tikai senggang pula ialah tikar yang diperbuat daripada mengkuang dan juga senggang dan kebiasaanya digunakan untuk menjemur padi selepas habis musim menuai. Tikar- tikar itu akan dianyam dengan corak dan motif yang pelbagai seperti corak bunga, manusia,burung dan sebagainya. Melainkan tikar senggang yang dianyam biasa sahaja memandangkan kegunaannya hanyalah sebagai tempat menjemur padi sahaja.

Kraftangan lain pula ialah seperti pasu dan juga tempayan(benda) yang diperbuat daripada tanah liat dan diuli menjadi tembikar yang menghasilkan pelbagai bentuk hasil ukiran yang agak kreatif serta menampilkan corak yang pelbagai. Tempayan ini akan digunakan untuk menyimpan beras, perkasam dan makanan yang diawet. Terdapat juga tempayan yang dijadikan untuk menyimpan nasi tapai atau tuak,iaitu minuman untuk masyarakat Iban pada musim perayaan. Pada zaman sekarang, kraftangan masyarakat Iban masih lagi mendapat sambutan dan terkenal kerana hasil kraftangannya yang asli dan unik. Antara kraftangan yang begitu terkenal ialah Tikai Lampit dan kain Tenun.

6.0 Adat Resam dalam Masyarakat Iban

Masyarakat Iban adalah masyarakat yang mempunyai adat resam yang pelbagai dan ianya masih lagi diamalkan sehingga ke zaman sekarang. Adat resam ini adalah adat dan pantang larang yang meliputi keseluruhan cara hidup masyarakat Iban. Contohnya ialah adat mengurus kandungan dan kelahiran, adat perkahwinan, dan adat sewaktu menguruskan kematian.

6.1 Adat Sewaktu Mengandung

Adat sewaktu mengandungkan anak ialah adat yang mengikat wanita Iban dan juga suaminya dengan pantang larang. Banyak pantang larang yang patut dipatuhi oleh wanita Iban dan suaminya. Antaranya ialah tidak boleh menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja, tidak boleh menyiang daging, membunuh binatang dan juga tidak boleh menanam pokok pisang. Semua pantang larang ini mesti diamalkan untuk menjamin kesempurnaan fizikal bayi yang akan lahir dan juga menghalang kuasa-kuasa ghaib yang tidak diingini daripada mengganggu bayi tersebut.

6.2 Adat Selepas Kelahiran

Sejurus selepas bayi dilahirkan, tali pusatnya akan segera dipotong dan bayi akan dimandikan. Seterusnya bayi dibedung dengan kain Pua Kumbu atau selimut yang ditenun cantik. Ketika bersalin, si isteri akan dibantu oleh seorang bidan dan dia akan memastikan ibu dan bayi dalam keadaan baik dan teratur. Seterusnya badan si ibu akan diurut oleh bidan bertujuan untuk menghilangkan rasa sengal-sengal badan akibat bersalin tadi. Selepas diurut, badan si ibu akan diusap pula dengan ubat yang diperbuat daripada halia dan entemu yang dibalut dengan tekalung, sejenis kain yang dibuat daripada kulit kayu.

Pantang larang sewaktu menyambut kelahiran bayi pula wajib dipatuhi oleh ibu kepada bayi tersebut. Wanita Iban akan berpantang selama tiga puluh hari selepas melahirkan anak dan makanan akan dicampurkan dengan halia supaya dapat memanaskan badan. Selepas bersalin, wanita kaum Iban akan menjalani satu amalan iaitu berdiang , di mana si ibu perlu dekat dengan unggun api. Kayu yang dijadikan unggun api pula ialah kayu malam, langsat, dan sebagainya yang boleh menyembuhkan penyakit ibu yang baru lepas bersalin. Si ibu perlu berdiang selama empat puluh hari untuk mengembalikan tenaga itu seperti biasa.

Seterusnya, ialah adat menanggalkan pusat bayi. Adat melihat matahari atau merasa garam dijalankan apabila bayi sudah tanggal pusat iaitu ketika bayi berusia empat hari. Bayi itu akan dibawa ke tanju atau ke anjung untuk melihat matahari dan diberi air garam. Selepas itu disusuli dengan pemberian nama kepada bayi yang baru lahir. Bayi yang baru lahir itu, diberikan nama sempena nama nenek moyang mereka. Tujuannya adalah agar anak yang baru lahir itu mewarisi jasa dan sumbangan datuk dan neneknya yang telah tiada.

Selepas itu pula disusuli oleh adat mandi sungai. Adat ini dijalankan pada usia bayi berumur satu bulan dan untuk membiasakan bayi dengan sungai. Bayi itu akan dipakaikan dengan kain pua belantan dan diiringi dengan doa dan mantera meminta supaya bayi itu menjadi seorang yang sempurna. Sebaik sahaja mantera dibaca,dua orang lelaki akan menetak air dan ayam disembelih. Bagi bayi lelaki, sayap ayam akan diikat dengan benang merah yang digantung pada galah berayang. Manakala bagi bayi perempuan pula, benang tersebut digantung pada galah laletan. Selepas itu bayi dimandikan dan gendang akan dipalu untuk selepas itu jamuan ringan akan diadakan.

6.3 Adat Perkahwinan

Adat perkahwinan dalam masyarakat Iban adalah sangat unik jika dibandingkan dengan masyarakat lain. Perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban adalah perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang melanggar mana-mana adat perkahwinan akan didenda sama ada dihukum mengikut adat perkahwinan yang telah ditetapkan . Terdapat beberapa peringkat perkahwinan dalam masyarakat Iban. Peringkatnya adalah seperti di bawah ini.

Merisik

Adat merisik ini adalah adat yang mesti dan wajib dalam masyarakat Iban. Dalam masyarakat Iban, perkahwinan biasanya ditentukan oleh pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna telah berkenan kepada seorang gadis, ibu bapanya atau wakil akan bertandang ke rumah gadis untuk merisik. Perjumpaan kedua belah pihak ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian dan sebagainya. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis jika hasil pertemuan itu menggalakkan. Syarat perkahwinan ditentukan kemudian oleh kedua-dua pihak.

Bertunang

Setelah perundingan selesai dibuat, barulah ikatan pertunangan itu dijalankan. Keluarga pengantin akan datang untuk menguruskan ikatan pertunangan itu. Setelah mencapai kata sepakat, ayah pihak lelaki akan menanggalkan “lapit” atau ikat pinggang perak atau sebilah pedang sebagi tanda pertunangan. Mulai dari hari itu, lelaki dan perempuan akan ditanda dengan ikatan pertunangan yang sah. Selepas ikatan pertunangan itu diikat, perempuan yang telah ditunangkan tidak dibenarkan menerima kunjungan lelaki lain selain daripada tunang dan ahli keluarganya sahaja.

Jika tidak, perempuan itu akan dianggap mencemari ikatan pertunangan yang baru diikat itu. Sebentuk cincin di jari masing-masing adalah sebagai tanda ikatan pertunangan dan tanda bahawa masing-masing sudah dimiliki. Tempoh pertunangan kemudian ditetapkan. Tarikh perkahwinan juga turut ditetapkan. Dua atau tiga hari kemudian,wakil dari pihak lelaki akan memaklumkan kepada saudara-mara dan jiran tetangga tentang pertunangan itu. Semasa pertunangan itu, bakal pengantin lelaki dan pengantin perempuan haruslah sentiasa memakai cincin pertunangan sebagai tanda mereka sudah ada yang memiliki.

Sekiranya pertunangan itu putus kerana salah seorang yang melakukan kecurangan, maka sesiapa yang melakukan kecurangan itu akan dikenakan denda sebagai menebus malu keluarga pihak yang dicurangi itu. Tetapi, sekiranya pertunangan itu terputus kerana kematian dan sebab-sebab lain, maka hubungan di antara pihak lelaki dan perempuan masih berjalan dengan baik.

Majlis Perkahwinan atau Melah Pinang

Majlis perkahwinan dimulakan oleh pihak lelaki. Pihak lelaki akan menyediakan
barang-barang atau hantaran yang akan diberikan kepada pihak perempuan seperti kain, raga, pedang, hasil kraftangan dan mungkin juga barang kemas. Keluarga perempuan juga turut membuat persiapan termasuklah memburu binatang untuk dijadikan lauk kepada tetamu yang akan datang. Selain itu, kedua belah pihak juga turut menetapkan perbelanjaan dan juga pemberian yang sesuai untuk pasangan masing-masing.

Pengantin lelaki memakai pakaian tradisional Iban dan disediakan tempat duduk. Paluan gong akan mengiringi rombongan dan perarakan tersebut. Sebaik sahaja sampai di rumah pengantin perempuan, akan dilepaskan satu tembakan sebagai tanda tetamu sudah tiba. Penduduk di rumah panjang pengantin perempuan akan bersiap sedia untuk menyambut kedatangan rombongan pengantin lelaki. Rombongan pengantin perempuan akan turun ke sungai untuk mandi bersama-sama dengan pengantin lelaki sebagai tanda permulaan silaturahim antara pengantin rombongan pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Semasa perkahwinan itu hendak bermula, mereka akan mengadakan perbincangan di ruai dan air tuak dihidangkan sekali lagi sebagai air peransang kepada tetamu. Setelah mengetahui hubungan kekeluargaan,pengantin perempuan akan meminta berian. Tetapi nilainya adalah mengikut yang telah ditetapkan oleh masyarakat di situ sendiri. Pihak pengantin perempuan pula akan meminta bayaran “pemecah tangga”iaitu sebilah beliung, bayaran “pembuka pintu” iaitu sebatang lembing, bayaran “pembuka kelambu” iaitu sebilah pedang dan bayaran-bayaran yang lain.

Upacara membelah pinang adalah upacara menentukan tempoh jodoh antara pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Setelah dibelah, pinang itu akan diagihkan kepada tetamu yang datang. Upacara perkahwinan telah dianggap tamat dan menunggu masa untuk bersanding di sebelah malam sahaja. Sekiranya ada kesalahan atau kesilapan semasa majlis perkahwinan itu, pengantin baru akan mandi di sungai untuk membersihkan diri. Mereka juga diminta untuk memegang sehelai kain yang panjangnya tujuh ela supaya kesalahan mereka akan hilang bagi setiap individu. Sementara menunggu majlis persandingan yang akan berlangsung pada sebelah malamnya, akan diadakan sedikit perbincangan antara keluarga sebelah pengantin lelaki dan perempuan. Perbincangan ini adalah tentang tempoh yang sesuai bagi pengantin perempuan tinggal di rumah pengantin lelaki sebelum dibenarkan melawat keluarganya.

6.4 Adat Mengurus Kematian

Masyarakat Iban menguruskan kematian mengikut adat-adat tertentu. Semasa kematian, sanak-saudara(kaban belayan) akan datang menghadirinya. Mayat si mati akan dimandikan dan dikenakan pakaian yang sebaik-baiknya dan diletakkan di tengah-tengah rumah panjang(ruai). Di atasnya akan digantung pua kumbu. Semua barang-barang kepunyaan mayat akan dibekalkan di dunia selepas mati atau dunya sebayan. Sepanjang malam dan siang akan ada orang yang ditugaskan untuk menangisi si mati selain keluarga si mati. Tangisan itu adalah dalam doa yang menghantar si mati ke dunya sebayan.

Kemudian pengebumian mayat pula akan dilaksanakan pada waktu subuh kira-kira pukul empat pagi. Lubang mayat akan digali dan ditimbus bersama barang-barang yang dibawanya. Mayat juga dibuatkan rumah. Kemudian, apabila selepas kematian, upacara berkabung atau ngulit dijalankan. Seisi rumah panjang dilarang membuat bising, memakai barang kemas,pakaian yang cantik-cantik, dan digantung pinggan yang dibalut kain hitam pada pintu rumah keluarga si mati menandakan ada kesusahan dan kesedihan menimpa. Tidak lama kemudian,upacara beserara bungai dijalankan untuk memastikan roh si mati tidak lagi mengganggu mereka yang masih hidup.setelah genap tempoh yang ditetapkan oleh keluarga si mati, maka upacara berkabung pun tamat. Selepas itu,gawai antu atau perayaan untuk meraikan si mati akan dijalankan( Bernedict Sandin ,1994: 119)

7.0 Tarian dan Nyanyian(Leka Main)

Aspek terakhir yang dikaji pula ialah tarian dan juga nyanyian masyarakat Iban. Masyarakat Iban mempunyai tarian yang agak menarik dan unik. Antara tarian Iban yang popular ialah tarian ngajat. Tarian ini terbahagi kepada beberapa jenis tetapi dilakukan pada masa dan waktu yang sama iaitu pada musim perayaan Gawai, di mana masyarakat Iban akan berpesta dengan pelbagai tarian bagi menyambut semangat padi, apabila selesai sahaja musim menuai. Antara jenis tarian yang diamalkan ialah tarian ngajat lesong, ngajat bebunoh, ngajat pua kumbu, ngajat indu dan banyak lagi. Semasa tarian ini ditarikan, gendang akan dibunyikan dan penari akan menarikan tarian mengikut paluan gendang.

Sementara nyanyian atau leka main pula begitu unik dan mempunyai pelbagai fungsi. Antara leka main yang masih relevan lagi pada zaman sekarang ialah pantun, ramban, renong,ganu, pengap, sampi,timang,bebiau, naku antu pala,geliga dan banyak lagi. rasa kerinduan, menyindir dengan cara yang halus,menyampaikan rintihan dan keluhan, hiburan kanak-kanak dan juga sebagai pembakar semangat atau motivasi.

Sekiranya diteliti, dan dikaji dengan lebih mendalam leka main atau sastera tradisional masyarakat Iban ini,ia nampak lebih menarik jika dibandingkan dengan sastera atau bidang puisi masyarakat bumiputera yang lain. Jenis puisinya yang sangat banyak menampakkan lagi keunikan yang terdapat pada puisi tersebut. Melalui leka main atau puisi ini, dapatlah diketahui corak pemikiran, pandangan hidup, kejadian yang berlaku, susunan masyarakat dan kepercayaan masyarakat Iban.

Tambahan pula ia disampaikan secara lisan dan diwarisi secara turun temurun oleh masyarakat Iban pada masa kini walaupun tidak semua orang yang tahu menyanyikan atau melagukannya. Keistimewaanya yang seterusnya pula ialah apabila ia disampaikan daripada masyarakat primitif yang animisme atau pagan. Leka Main atau puisi ini tersebar secara lisan dan ia bersifat kolektif dan fungsional. Bentuknya masih terikat oleh konvensi tertentu dan keterikatan ini telah memberikan perbezaan kepadanya daripada genre puisi tradisional etnik yang lain di Sarawak. Masyarakat Iban seharusnya bangga kerana kepandaian mereka bermain dengan kata-kata yang berbait dan sangat indah apabila didengar.

8.0 Penutup

Secara keseluruhannya, masyarakat Iban di Sarawak adalah masyarakat yang mempunyai cara hidup dan tradisi yang agak istimewa. Cara hidup mereka adalah amat menarik sekali untuk diungkapkan dan diceritakan. Kehidupan masyarakat Iban jika dilihat dari aspek sosial, ekonomi dan politik sesungguhnya amatlah berbeza dengan kaum-kaum lain di Malaysia ini. Hal ini digambarkan dengan memetik pendapat Vinson H. Sutlive dalam bukunya yang berjudul The Iban Of Sarawak yang berbunyi begini:
“The Ibans have built thier world out of natural, social and metasocial order to which they have perceived themselves as belonging. Plants, animals, hills,sun moon, stars , ancestral spirits and other groups have been brought together in the ethnoscience and mythology by which the Iban have developed and manipulated the symbols which have helped them understand thier world the rationalize thier behaviour.”

Walaubagaimanapun, pada masa kini, adat dan tradisi masyarakat Iban banyak juga yang telah ditinggalkan. Antaranya adat-adat yang menjurus kepada animisme, kepercayaan karut, dan adat-adat yang difikirkan tidak logik untuk diamalkan pada masa sekarang. Hal ini memandangkan masyarakat pada zaman sekarang sudah maju dan pemikiran masyarakat pun berubah ke arah yang lebih moden. Tambahan pula, sudah ramai golongan cerdik pandai dalam kalangan masyarakat Iban yang membawa budaya dan cara hidup masyarakat bandar dan menerapkannya dalam kalangan masyarakat Iban .

Bibliografi


A. Buku
Bernedict Sandin(1994). Raja Durong. Sarawak: Borneo Literature Bureau.

Derek Freeman (1996). Report Of The Iban. Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti
Malaya.

Vinson H. Sultive(1996). The Iban Of Sarawak. Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya.



B Sumber internet
Http://www.malaysia.pnm.my

Http://www.sarawakupdate.com.my



C. Artikel dalam internet tetapi bukan daripada journal elektronik
Chemaline Usop( 2006) Leka Main Puisi Rakyat Iban:Satu Analisis. Diperolehi pada 1
Ogos ,2009 daripada www.eprints.usm.my


D. Artikel dalam akhbar

Sopi Samaili(2009). Ratu Meriahkan Pesta Menuai. Kuala Lumpur. Utusan Publication.


9 comments:

Anonymous said...

adakah adat bertunang dan merisik bagi masyarakat iban masih lagi diamalkan pd zaman skrng? saye pernah menemubual rakan dr kaum iban, beliau mengatakan bahawa merisik dan bertunang tdk diamalkan lg. betul ke? atau amalan tu berbeza ikut tempat tinggal?

yee said...

hi,

tuan punya blog ada tak PDF format untuk kajian ini.. sebab maklumat yang awak ada ingin sya jadikan rujukan dalam kajian saya untuk kes study master program di UKM. adat resam orang iban. I can be reach through nellyubong@gmail.com or nelly yee (FB profile). Kerjasama anda amat dihargai.TQ

ahmad shahrul said...

salam sejahtera. agak menarik juga rencana anda tentang masyarakat orang iban di sarawak. mohon izin untuk mengambil sedikit maklumat dari rencana ini bagi menyiapkan kerja kursus saya pula.

ahmad shahrul said...

terima kasih.

Sera said...

Sangat berpuas hati ! amat membantu saya :D

Anonymous said...

Satu kajian yang amat baik dan terperinci. Boleh minta pdf format kajian ini? penting untkk rujukan untuk kajian saya mengenai masyarakat Iban.Sekurang-kurangnya berikan maklumat mengenai nama pengkaji, tahun kajian ini dibuat dan tajuk kajian untuk dilampirkan dalam ruang bibliografi kajian saya. Terima Kasih. Email: andreean5565@gmail.com

winnie ennis said...

kajian yang sangat bagus..boleh berikan maklumat mengenai nama pengkaji ,tahun kajian, dan tajuk kajian untak dilampirkan dalam sorotan kajian lepas dan bibliografi saya??terima kasih. Email: winnieennis@gmail.com

Unknown said...

hi. saya perlukan sedikit rujukan bagi perkahwinan kaum iban. ada beberapa laman yg saya kami Dan search, tp tkda yg brkaitan. mungkin ncik bole tlong. Email cassandraviviena@gmail.com

Unknown said...

hi. saya perlukan sedikit rujukan bagi perkahwinan kaum iban. ada beberapa laman yg saya kami Dan search, tp tkda yg brkaitan. mungkin ncik bole tlong. Email cassandraviviena@gmail.com